Sunday, January 23, 2011

Sholehah:: Menjadi atau Mencari

Mencari Solehah atau Menjadi Soleh? Saya sering membaca kisah kehidupan orang yang ingin menghabiskan zaman bujangnya, namun gagal meninggalkan kepompong kebujangannya itu oleh kerana dilanda masalah pilihan jodoh. Mereka mencuba sedaya upaya sehingga berhabis ratusan ringgit mengupah tok bomoh profesional berataraf antarabangsa namun jodoh tidak kunjung tiba.


Pada waktu itu mereka mula mempersoal hakikat takdir Allah. Saya bukanlah agen pencari jodoh untuk anda pada post kali ini, cuma ketika berada di tahun akhir pengajian di sini saya selalu dipaparkan dengan masalah kegagalan mencari jodoh yang meragut ketenangan jiwa saya. Memang perasaan cinta agak sukar untuk diterjemahkan. Ada orang suka itu dan ini, pendek kata ada pelbagai rasa dalam satu masakan yang tak mampu diolah dalam bahasa kamus.

Susahnya mencari jodoh! Jika ditanya, anda mahu mencari jodoh yang bagaimana? Tentunya akan dijawab:

“Dia yang paling baik dalam akhlak dan budinya”

“Pandai jaga hati”

Baik dari segi itu dan ini. Sebenarnya jika anda cuba bertanya kepada penari-penari kelab dangdut, mereka juga akan menjawab dengan jawapan yang sama. Tiada wanita yang suka dibelasah oleh suaminya setiap hari walaupun suaminya itu bukan bekas ahli tinju yang mahir. Sudah fitrah manusia mencari yang elok dan tidak busuk. Cuma bayangan kefahaman mereka disebalik makna perkataan ‘baik’ itu yang berbeza.

Bagi mereka, orang yang selalu tersenyum itu adalah antara orang yang terbaik walaupun berasal dari kumpulan peninggal solat yang terkenal. Adapun kebaikan itu sebenarnya hanya terzahir bila kita mentaati perintah Allah. Bagaimanapun setiap kita mendamba cinta dari seorang kekasih yang sangat sempurna sifat keinsanannya.

Sifat sempurna yang mampu menutup lubang-lubang kecacatan walaupun setengah meter. Banyak sekali mereka yang telah lanjut usia gagal untuk mendirikan rumah tangga kerana memikirkan perkara ini. Yang ada di hati mereka:

“Betulkah dia ini baik atau sekadar berlakon.”

“Ooh mungkin dia cuba bantu aku sebab hendak mengambil hati.”

“Emm pakai tudung dan cuba-cuba buat solehah agaknya itu.” 

Akhirnya, semua sifat orang habis diselidiki tanpa memikirkan sifat diri sendiri. Kita yang tidak punya sifat dan perwatakan yang 'baik' cuba untuk menilik mereka yang 'paling baik' untuk dijadikan pasangan hidup. Seboleh mungkin kita mahukan seseorang yang punya sifat seperti malaikat. Sedangkan kita antara orang yang selalu bermuamalah dengan syaitan setiap hari untuk melakukan maksiat. Ini tidak adil! Bagaimana sifat syaitan dan malaikat boleh bersatu?

Akhirnya setiap detik berganti masa yang lama tidak juga mendapat pasangan yang secucuk. Lamunan untuk mendapat itu dan ini tidak terzahir di depan mata oleh kerana sentiasa melihat yang negatif pada orang lain. Jadilah yang soleh, anda akan mendapat yang solehah! Cuba selidiki diri sebelum mencari orang yang kita bayangkan sifatnya dibenak kita. Adakah sifat yang berada dibenak sendiri itu, wujud dalam diri kita?

Atau dalam erti kata yang lain, jika ingin mendapatkan seorang yang solehah, maka kita juga perlulah menjadi yang soleh. Kalau ingin mendapat jodoh yang soleh, kita perlulah solehah. Dari sini kita dapat fahami bahawa menjadi sesuatu itu lebih mudah dari mencari sesuatu. Kita setia mencari pasangan yang berperwatakan seorang yang soleh dan solehah, sepatutnya kita sendiri perlu punya perwatakan itu.

Janganlah anda menyalah orang lain jika pinangan anda ditolak. Siapakah yang ingin mendapat pasangan punya 'kakinya berbotol' dan peninggal setia solat fardhu? Sememangnya dijanjikan Allah setiap yang baik itu kepunyaan yang baik. Dan yang buruk itu akan mendapat yang buruk. Penzina yang setiap saat bergelumang dengan dosa tidak akan mampu untuk mendapat pasangan seorang lelaki yang soleh.

Ini adalah realiti. “Jangan cuba masuk ke dalam istana untuk bertemu dengan puteri raja dalam keadaan pakaian anda compang camping”. Oleh itu jadilah yang terbaik untuk diri sendiri selain ingin menjadikan orang lain sebagai yang terbaik untuk diri kita. Belajarlah menjadi sifat orang yang kita ingini. Kelak kita sebenarnya yang akan dicari. Bukan kita yang mencari.



Jatuh Cinta Atau Jatuh Nafsu

Kata orang barat  "What's the fuss all about?"

Hari ini saya ingin mengajak saudara meneliti permasalahan ummat yang berlaku kini khususnya bagi golongan muda belia yang masih lagi baru dalam meniti hakikat kehidupan.

Permasalahan mengikut usia.

Apa yang dapat saya lihat, kebiasaannya masalah bagi golongan muda adalah mengenai hubungan atau percintaan. Masalah kepada mereka yang sudah berumah tangga lebih kepada permasalahan daipada aspek tanggungjawab kepada keluarga, kecurangan dan juga politik tempat kerja. Mereka yang berada dalam kategori kepimpinan pula permasalahannya lebih kepada korupsi dan penyelewengan, tidak kira sama ada daripada golongan ‘ikan bilis' hinggalah ke ‘jerung besar' dan daripada parti Islamik, komunis, sosialis mahupun sekularis.


Melihat kepada rancangan televisyen, dapatkah anda  menilai betapa banyaknya filem, teledrama, telefilem bahkan apa rancangan sekalipun yang membincangkan mengenai cinta sesama manusia? Dalam ruangan akbhar pula, akhbar manakah yang tiada ruangan kaunseling cinta? Berapa banyaknya majalah yang menerbitkan tentang hubungan sesama manusia dalam erti kata cinta yang tidak sah? Cuba anda lihat pula pada diri anda sendiri atau setidak-tidaknya pada mereka yang sebaya dengan anda. Berapa ramaikah di antara mereka yang  mempunyai kekasih pujaan hati? Jawapannya bukan sahaja ada, bahkan terlalu banyak dan barangkali sudah menjadi darah daging!


Bermula mungkin daripada persahabatan, lewat sistem pesanan ringkas (SMS) ataufacebook. Setelah beberapa lama, pertemuan diatur. Kemudian, keluar berdua-duaan. Malu-malu. Segan-segan. Selepas itu, bermulalah adegan ayang-ayanganje-anje. Mula berpegangan tangan. Perhubungan ini diisi dengan madah cinta yang sangat romantis. 

Cinta suci...


Cinta agung...

Semoga perhubungan diberkati dan kekal...

Setelah itu, mungkin ada yang ke jinjang pelamin dan mendirikan rumah tangga dan mungkin pula daripada berpegangan tangan mula melangkah lebih maju dalam keadaan yang tidak baik.

Malaysia Boleh katakan...

Di akhir cerita lahirlah anak luar nikah. Paling tidak, kehormatan diri sudah tergadai atau mungkin hampir tergadai. Barangkali situasi ini tidak berlaku kepada semua pasangan tetapi hal ini berlaku hampir kepada semua.

Kita lihat pula pada sikap mereka yang berada dalam situasi ini. Sanggup lakukan apa sahaja, betul? Sanggup membelanjakan wang dan mengorbankan masa. Sanggup melayan dan menahan banyak kerenah. Sanggup menyerahkan tubuh badan untuk dijadikan sebagai persembahan ‘cinta teragung'. Lebih dahsyat lagi ada yang sanggup menukar agama kerana sayangkan kekasih hati.

Lihat pula kepada perbualan harian mereka.


"Kenapa dia tak call aku hari ni?"

"Dia suka aku ke tak? Sayang aku ke tak?" 

Kalau nak dengar dengan lebih lanjut, saya mencadangkan supaya dengan tak malunya sila duduk di sebelah mereka yang sedang berpacaran dan dengar perbualan mereka. Jika ingin jalan selamat supaya tidak dimaki, tonton sahaja TV3.

Sekarang harap anda mula melihat dengan jelas. Sejujurnya hal ini adalah masalah yang berlaku dalam golongan muda-mudi kita. Kita disibukkan oleh permasalahan sebegini remeh.


Cinta itu juga satu ciptaan. Bukan Pencipta. Cinta bukan Tuhan!


Bukankah cinta itu telah Allah ciptakan kepada manusia sebagaimana Dia menciptakan pancaindera manusia dan akal manusia. Jadi boleh sahaja kita katakan bahawa cinta itu cuma satu jalan daripada jalan-jalan yang telah Allah kurniakan kepada kita untuk mencari redaNya. Sayang... Kita menjadikan jalan itu sebagai matlamat sedangkan matlamat sebenarnya sudah hilang ke mana. Jadinya, secara tidak sedar kita telah terlampau mengagungkan kalimah cinta dan cinta itu sendiri.


JATUH CINTA 
atau JATUH NAFSU?


Bukankah sudah jelas dalam al-Quran dinyatakan bahawa syaitan akan menampakkan sesuatu yang buruk itu sebagai sesuatu yang baik pada pandangan kita?

Berpegangan tangan. Bercumbu mesra. Peluk-memeluk. Tangan menjalar merata diiringi kalimah-kalimah yang manis puji-memuji. Kadang-kadang siap berdoa supaya kasih akan terus berkekalan. Poorah! Bila sudah perut membesar, barulah tersedar dan tersentak. Bila keluarga si perempuan bawa "abang-abang besar" suruh bertanggungjawab barulah rasa kecut dan takut. 

Haq dan batil tidak boleh bercampur. Islam itu lahir daripada keruntuhan jahiliah. Kita ini terbalik pula. Islam itu jadinya pada kita bercampur dengan jahiliah. Maka patutkah Allah reda dengan tindakan kita? Sepatutnya kita melihat melalui kaca mata al-Quran yang sudah terang haq dan batilnya. Bagaimana indah sekalipun jika yang batil itu dicantikkan oleh syaitan, kita tetap akan sedar betapa buruknya apa yang kita lakukan, betapa jijiknya dan kotornya dosa yang kita lakukan itu.


Berhenti dan
 Periksa diri Anda.


Kita bukanlah manusia yang sempurna daripada segala salah dan silap. Kita seharusnya sedar jika telah berbuat kesalahan dan melakukan perubahan. Itulah yang membezakan Adam dan Iblis. Kedua-duanya membuat kesalahan tetapi Adam bertaubat sedangkan Iblis telah bersumpah dengan angkuh dan sombongnya untuk menyesatkan anak cucu Adam sampai hari perhitungan. Berhenti dan periksa diri kita, muhasabah kembali tiap perlakuan kita. Semoga apa yang tertulis ini mampu memberi sedikit kesedaran kepada saya dan anda. Wallahua'alam.



Saturday, January 22, 2011

manusia selalu Salah / khilaf

“Tiga perbuatan yang termasuk sangat baik, yaitu berzikir kepada Allah dalam segala situasi dan kondisi, saling menyadarkan (menasihati) satu sama lain, dan menyantuni saudara-saudaranya (yang memerlukan).” (Hadis Riwayat Ad-Dailami)
Manusia ini satu perkara menariknya adalah kita dicipta dengan mempunyai ‘radar’ sendiri yang mengesan ketidakselesaan apabila bertemu dengan seseorang yang menghantar mesej negatif. Tak perlu mengucapkan dengan kata-kata, riak muka telah memberitahu segala-galanya.
Mesej yang membenci, tidak suka, marah, tak puas hati, itu kadang-kadang memberikan impulse ‘radar’ pihak yang satu lagi. Kata orang,action speaks louder than words. Itulah hakikatnya, tak perlu nak mengatakan aku sakit hati, aku benci, geram, tak puas hati, dan sebagainya.
Riak muka yang sedikit ‘lain’ itu cukup memberi gambaran tersebut.
Jika anda tidak suka, tidak puas hati atau membenci, adakah anda akan berbuat demikian? Tak perlu sebut tentang bermasam muka, atau berkerut, tak samakah ‘muka tak tahu’ itu sudah cukup menggambarkan bahasa fed up.
PUAS BERSABAR
“Selama ini aku dah puas bersabar dengan kau!”, luahan seorang rakan terhadap rakannya yang menyakitkan itu.
Saya memberikan 2 situasi di sini.
Yang pertama, orang yang berkata dia ‘bersabar’ itu sebenarnya masih belum lagi cukup sabarnya. Orang yang sabar tidak akan berkata dia bersabar. Orang yang bersabar tidak meluahkan rasa hatinya yang panas itu. Hanya orang yang berdendam melepaskan segala kemarahannya.
Dalam situasi seperti ini, ia adalah lebih menakutkan daripada kesilapan asal orang yang menyakitkan. Memang pada asalnya ibarat ada sebab yang menjadikan gunung berapi  emosi itu meletup, sehingga segala-gala laharnya dimuntahkan sepuas-puasnya. Tetapi yang keluar adalah api.
Api yang menghangus semangat dan membakar rasa.
Mungkin yang disakiti sanggup melakukan demikian kerana yang menyakiti patut menerimanya sedang selama ini dia tidak pernah-pernah sedar. Tetapi sebaliknya, melakukan luahan sedemikian bukanlah tindakan yang bijak. Kenapa tidak ditegur sejak awal, berbanding compile kesalahan semua dan diluahkan dalam satu saat?
Batu itu kalau setitis demi setitis air jatuh ke atasnya pasti akan lekuk, biarlah ambil masa yang lama sekalipun. Tetapi air yang bergelen-gelen disimbah ke batu dalam masa sesaat, sudah tentulah batu itu tidak terkesan apa-apa, melainkan mengalihkan keadaannya ketempat lain. Begitulah keadaannya seperti manusia yang ingin ditegur.
Saya teringat ketika sewaktu saya berada di zaman persekolahan memegang tampuk kepimpinan. Ketika itu seluruh jawatankuasa dikumpulkan untuk sesi post mortem. Post mortem itu bertujuan untuk mengubah dan memperbaiki. Tetapi cara memperbaikinya adalah dengan menyebut segala kesalahan dan kelemahan setiap dari kami.
Semua menunduk.
Malam itu, semua berubah suhu. Ada yang bertukar watak terus, malah ada yang patah semangat untuk meneruskan kepimpinannya.
Ini bukan cerita mereka tak kuat dan tak larat.
Ini adalah soal sebab dan akibat.
Ada yang mula berminta maaf dari bilik ke bilik. Ada juga yang saya bertegur sapa, tak mahu sebut lagi soal kepimpinan. Yang saya nasihati, ada yang menangis kerana tak sanggup menahannya.
Sedangkan mereka semua pada asalnya orang yang semangat.
Begitulah keadaannya, menyimpan yang meluahkan bukanlah tindakan yang bijak. Melakukan sedemikian adalah orang cara orang yang berlagak.
Berlagak seolah-olah yang tindakannya cukup betul, dan apa yang dikatanya cukup betul.
Sebab, ketika itu yang difokus kesalahan adalah orang lain. Ia takkan berlaku satu situasi yang mana kedua-dua menyalahi antara satu sama lain, melainkan itu satu pergaduhan.
Situasi yang kedua, orang yang memang bersalah, tidak sedar-sedar bahawa dia bersalah. Dalam hal ini, katakan dia tak tahu bahawa dia tak tahu. Ketika anda mula memberitahu, barulah dia akan tahu.
Bagaimana jika anda menghukum tahunya dalam keadaan dia seperti itu?
Memang secara logiknya dia wajar menerima kemarahan dan luahan lahar gunung berapi itu. Bukankah lebih baik membimbingnya mengenal kesilapannya sendiri?
Lainlah jika beberapa kali diberitahu, tidak mahu, maka kaedah yang lain perlu mengetuk si ‘paku’ ini.
CARA MENEGUR
Saya teringat dalam sirah, seorang Badwi yang kencing di kawasan Masjid. Ketika itu ada sahabat yang tak tahan melihat ingin memukul lelaki itu kerana mencemarkan masjid.
Rasulullah melarang.
Nabi s.a.w membiarkan arab badwi tersebut menyelesaikan urusannya. Setelah itu nabi menyuruh sahabat untuk membersihkan kawasan itu dengan air kemudian memanggil badwi itu ketepi. Nabi memberitahu bahawa itu bukanlah tempat untuk membuang air.
Subhanallah.
Pendekatan Nabi itu memberikan satu impak sangat besar. Arab Badwi itu akhirnya memeluk Islam.
Nak dikatakan di sini bahawa walaupun jelas kesilapan itu di mata sahabat dan nabi, pada arab badwi itu tidak salah, sedang dia tidak tahu. Bukan sekadar dia diberitahu, dia kemudiannya merasa mahu, kepada Islam akhirnya dia tuju.
Adalah lebih baik kita menegur dengan pendekatan yang baik. Setiap orang buat kesilapan, dan setiap orang dilatih untuk menjauhi kesilapannya. Ingatlah, jika seseorang itu tidak buat silap, bererti dia tidak buat apa-apa.
Kita dihantar ke sekolah untuk belajar, belajar untuk menambahkan ilmu juga belajar untuk mengurangkan kesilapan. Begitu juga kita yang berada di sekolah kehidupan ini, kita perlu menambahkan amal yang baik dan kurangkan kesilapan.
Jika ada orang lain buat salah silap, mungkin menyakitkan hati kita, jika mampu kita betulkan. Jika tidak abaikan atau lupakan semua yang mungkin menjadikan kita sangsi terhadapnya.
Adakalanya memperbaiki kehidupan di dunia ini dengan hanya kesilapan dan kesalahan sendiri tidak cukup, kadang-kadang dengan adanya orang lain membuat silap cukup mengajar kita untuk tidak mengulangi kesilapan itu.
Raikanlah mereka. Bukankah mereka juga banyak melakukan kebaikan?
MENGAPA PERLU MEMBENCI?
Saya pernah tertanya-tanya, dalam keadaan kita bersosial dan berkomunikasi ini, mengapa jika 5-6 tahun rapat dan baik, tetapi kerana satu kesilapan kata dan kesalahan menghancurkan apa yang dibina begitu lama dalam masa sesaat. Begitu juga, dalam sebuah perniagaan, jika kita mempercayai mereka sekian lama, setelah satu saat ditipu, selama-lamanya kita menjauhkan diri dari bermuamalah darinya.
Mengapa?
Akhirnya saya menemukan jawapannya bahawa sebenarnya hidup kita didominasi dengan sifat kepercayaan yang sangat tinggi. Membina kepercayaan itu mengambil masa yang agak lama, tetapi meruntuhkannya begitu mudah.
Sebab itulah dari Islam saya menemukan kaedah yang terbaik mengubat hakikat ini. Itulah bersangka baik.
Buat apa susah-susah kita memikirkan buruk orang lain, sedangkan kita ada pilihan untuk berbaik sangka?
Teringat saya isu Ustaz Akil Hayy. Beliau merupakan seorang pendakwah yang sangat menarik perhatian masyarakat dari semua umur. Bayangkan bakatnya memikatnya manusia bertahun-tahun ke jalan Islam itu dijatuhkan hanya satu kesilapan yang dimediakan?
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa;
dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.
(Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Surah Al Hujurat : 12)
KITA HAKIKATNYA MANUSIA INI
Ambil dua helai kertas. Satu kertas tuliskan segala kelebihan dan kebaikan anda. Satu lagi kertas tuliskan keburukan dan kelemahan anda. Tulis sejujur-jujurnya.
Pastinya anda akan mendapati bahawa sebenarnya anda boleh menulis kebaikan dan kelebihan itu cukup sebahagian kertas itu. Tentu sekali yang buruk dan lemah dalam diri anda tidak akan cukup dengan satu kertas. Mungkin jika ditambah satu helai lagi pun masih tidak cukup.
Kita memang penuh dengan lemah, itulah hakikat kehidupan kita. Meskipun sejauh mana kita menuju kebaikan dan pembaikian diri.
Itu yang berlaku di sekeliling kita.
Manusia yang penuh dengan kelemahan.
Jika kita membenci mereka, sesaudara kita yang melakukan kesilapan dengan cara yang mudah, bererti sendiri yang tidak menyukai diri kita, atau lebih patut dikatakan lupa diri. Ingatlah, kita beruntung menjadi hamba yang berbuat silap, sebab itulah Allah maha pengampun.

Al Hubb itu cinta

Episod 150 : Al-Hubb Itu Cinta~


“Kadang-kadang aku tengok orang yang ‘kuat’ sikit dengan Islam ni, mesti nak consider pasal nikah ni benda yang pentingkan?”, kata seorang rakan sebilik saya sambil melihat preview filem Ketika Cinta Bertasbih.
Saya menguntum senyum.
Soal ini ada benarnya kerana antara kami berbeza latar belakang dan kesedaran saya juga agak berbeza tentang hal ini.

Lantas saya menjawab sekadar mampu.
Untuk menghuraikan soal cinta, ceritanya bagi umat Islam adalah menjurus kepada sebuah pernikahan. Namun untuk menguraikan erti cinta dan nikah, saya tidak mampu menghurainya dengan tepat lantaran begitu banyaknya pemahaman cinta yang telah diungkapkan. Bagi saya persoalan cinta dalam diri adalah jawapan bagi definisi cinta itu.
Justeru, lebih mudah untuk saya terangkan di sini, dalam dunia yang semakin meningkat dari segenap segi ini, ujian bagi seorang muslim juga bukan mudah khususnya para remaja kini. Papan tanda, produk, iklan, tv, internet, filem hampir keseluruhannya menjurus kepada erti cinta dan percintaan. Lantas bagaimana mahu mengelaknya?
Sebab itu, kalau bagi seorang muslim yang jiwanya mula terkesan dengan momentum cinta, mahu menyayangi dan ingin disayangi, tentu mencari jalan untuk mengerti definisi dirinya tentang cinta. Untuk menurut hati, ada yang terjerat dengan penafsiran yang silap, lantas menghinakan diri dengan percintaan yang salah. Yang mengerti, sudah tentu mengidamnya atas menginginkan keredaan-Nya dengan satu cara sahaja : nikah!
MENCARI CINTA ATAS LANDASAN ILAHI
Jauh jika dibandingkan dengan apa yang telah ditayangkan di media massa, anda telah melihat betapa mudahnya harga sekuntum cinta di petik dengan mudah. Kadang-kadang menjadi pelik cinta yang dijumpai itu bermula dengan bertemu di bar-bar kafe, bergaduh, tepi jalan, terlanggar malah ada juga cerita cinta yang bermula di hadapan tandas(cerita Melayu)!
Dengan plot-plot yang pelbagai ragam dan beraneka macam ini, anda akan melihatnya berakhir dengan satu unsur tipikal : mati, bercerai, atau happily ever after.
Berhenti di sana.
Happily ever after?
Mungkin. But not necessarily at hereafter!
Itu apa yang telah kita selami stereotipikal cinta dalam media. Tapi tahukah anda, ada satu cerita cinta yang lebih pelik, aneh, tetapi sangat menakjubkan?
Anda akan melihat beberapa orang yang hidupnya seolah-olah hidupnya tidak mahu bercinta. Jika bertemunya ia seolah-olah sombong, menundukkan pandangan, menjaga tutur bicaranya. Dia tidak mahu pertemuannya dengan yang bukan muhrim semudah-mudahnya. Adakah dia benar-benar tidak normal tidak mahukan cinta atau gila?
Mungkin ada yang berfikir sedemikian.
Syadid atau tegasnya seseorang itu pada pendiriannya sebenarnya adalah lebih dari cinta. Seseorang itu tidak akan mahu menjadi orang yang terpelihara andai bukan kerana cinta. Malah tidak juga ia ingin melakukan demikan melainkan kerana kesilapan dan kelalaian mungkin akan merosakkan cintanya.
Cinta itulah cinta yang mendalam terhadap Allah dan Rasulnya.
Masih tidak cukup!
Juga cinta terhadap seseorang selepas Allah dan Rasul, yang akan menjaganya jiwa dan raga, hidupnya dan masa depannya, tetapi dia masih tidak tahu siapakah gerangannya insan itu!
Lantas dia masih bersikap demikian untuk menjaga cintanya. Sebab itu jangan terperanjat andai saya menyatakan cinta yang seperti ini jauh lebih romantik dari Romeo & Juliet, lebih bahagia dari Cinderella, lebih senang dari orang yang mempunyai kekayaan seluruh harta bumi.
Kerana cintanya dipaksikan dengan landasan akhirat.
Belum ada lagi dunia menceritakan cinta seperti ini melainkan adanya pada orang-orang mukmin.
Pengorbanannya luar biasa, kesabarannya luar biasa, keindahannya luar biasa, sudah tentu nikmat-nikmat ini dia peroleh kerana CINTA ALLAH dan CINTA RASUL menjadi panduan utama.
Nah, masih mahu lagi menodai erti cintamu dengan valentine’s day?
Rasailah ketenteraman, kasih sayang, yang sangat besar buat isteri/suami yang akan hadir dari jenismu sendiri.
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir” (Surah Ar-Rum : 21)
Berusahalah mencari yang terbaik dengan menjadi dan memberi.
Pesanan cinta tulus buat diriku~

Untung kita Punya Hati

“…Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui” [Al-Baqarah : 216]
spaceform-heart-token
Dalam pendakian kita mendaki gunung impian kita, selama tempoh yang tertentu pasti ia menjadi satu yang begitu indah dan menarik. Sudah tentu impian adalah sesuatu yang tersemat di hati dan menjadi satu-satunya angkara kenapa kita bergerak menuju ke hadapan.
Tentunya jika menyebut tentang impian dan cita-cita, jika ditunjukkan bahasa badan, kita akan menekup kedua-dua belah tangan ke dada, merasakan ia adalah seruan hati. Bukan di kepala.
Alangkah hebatnya Allah menjadikan seketul daging ini memberi respons terhadap apa yang diingini itu. Sayang harta, anak bini, pangkat dan sebagainya. Malah tentunya dalam satu-satu masa, seseorang itu menjadi sebati dengannya. Ketika itu Allah menjadikan satu kemanisan terhadap hatinya, sehingga untuk melepaskan apa yang disayangi itu begitu berat.
Fitrah, anda tidak akan dapat lawan kenyataan perasaan anda jika dompet anda hari ini hilang lesap begitu sahaja, keluarga meninggal sekelip mata, orang yang dicintai pergi, pangkat yang ada ditarik. Kecewa yang ada di dalam diri adalah satu perasaan yang Allah cipta setelah apa yang DIINGINI tercabut, terlepas dan GAGAL.
Saya teringat abang Hannan pernah bercerita kepada saya tentang hidupnya yang sarat dengan pengalaman  hebat. Sebelum memeluk Islam, dia pernah menjadi jutawan dalam usia yang begitu muda. Setelah pendakian impiannya tercapai, dia merasakan seolah-olah dirinya seorang tuhan. Dia boleh melakukan apa sahaja : kerana duit ada. Duit kalau sudah ada, apa yang teringin dari benda kecil hinggalah servis manusia semuanya boleh.
Sehingga satu masa ekonomi Malaysia jatuh, kewangannya juga jatuh, sehingga habis duitnya. Kebetulan ketika itu juga dia mengalamiaccident, tanpa mempunyai apa-apa.
Saban hari impian yang ada tercabut dan musnah sekelip mata, tambah lagi dengan ujian yang berat itu, hati yang telah ditakhta oleh nafsu juga turut hilang sekelip mata. Itulah sebenarnya, TURNING POINT hidupnya ‘kembali’ ke agama fitrah.
“Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak memandang tubuhmu dan tidak pula pada kedudukan mahupun harta kekayaanmu, tetapi Allah memandang pada hatimu. Barangsiapa memiliki hati yang soleh maka Allah menyukainya. Anak Adam yang paling dicintai Allah ialah yang paling bertakwa” [Hadis Riwayat At-Tabrani dan Muslim]
Dengan itu saya memahami bahawa jiwa kita yang hari ini mengharapkan sebuah impian yang besar, tentunya perasaan yang kecewa sedih dan hampa itu wujud. Tetapi di samping itu Allah jadikan satu nilai tambah kepada akal hambanya : PILIHAN.
Sama ada kita memilih yang baik, atau NYATA kita memilih yang buruk.
Tentunya jalan yang baik itu lebih terbuka luas.
Jangan bersedih andai apa yang dicita hilang sebegitu, itulah ujian sebenar seorang muslim. Tatkala itu bahasa fitrah hati akan mula berkata-kata untuk kembali, kembalilah merujuk pada tuhan yang Maha Mendengar.
Untungnya kita punya hati, jika kita dapatkan sesuatu yang benar-benar kita ingini, tentu gembiranya luar biasa. Tetapi, andai hilangnya sesuatu yang dicintai, tidakkah hati memberi tanda tanya, mengapa?
Kerana kita manusa, lemah tak berdaya.
Dan kita masih punya pencipta, Maha Kuasa.
Kita sedih, ia bukan semudah mengukir senyuman untuk menghilangkannya. Kecewa, ia bukan semudah menggerakkan tangan dan kaki untuk menahannya. Tetapi kita punya senjata lengkap akal fikiran untuk MENGHADAPINYA.
JALAN ITU TIDAK CANTIK JIKA TIDAK BERLIKU
Hidup itu sebenarnya nikmat dengan jatuh. Tidak ada seorang pun yang dapat menafikan bahawa malu, sedih, tawa, kecewa dan marah dalam kehidupannya adalah pelengkap kehidupannya untuk diisi sebagai manusia yang biasa.
Yang kita fahami, panas lawannya sejuk, hitam lawannya putih, cantik lawannya buruk. Tetapi sedih, kecewa dan marah bukanlah lawannya ketawa, gembira dan suka. Pengubatannya berupa KETENANGAN HATI dan KEDAMAIAN JIWA, tentunya Allah telah awal-awal memberi solusi;
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram” [Surah Ar-Ra’du : 28]
Berdoalah kepada Yang Berkuasa mentadbir hati manusia;
“Wahai tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di jalan agamamu dan untuk mentaatimu”
BUAT DIRI INI
Mungkin pendakian saya sebagai pada sebuah gunung yang saya cita-citakan itu adalah gunung yang tersilap, akhirnya saya menemui bahawa saya perlu kembali turun ke dasar mengerti bahawa saya ini salah langkah. Itulah hakikatnya saya mengerti bahawa saya perlu berubah kembali.
“Semua anak Adam pembuat kesalahan, dan sebaik-baik pembuat kesalahan ialah mereka yang bertaubat” [Hadis Riwayat Addarami]
Andai datang kekecewaan dan kesedihan selepas ini, gantikanlah daku dengan ketenangan hati, oh tuhan!
Bergerak melangkah, menyusun diri, bergerak bersama tentera-tentera hati baru!