Aku suka melihat air. Air ini sifatnya tawakal dan tawaduk. Bila air itu dituang ke dalam bekas berbentuk bulat jadi bulatlah ia. Jika empat segi, menurut pula menjadi empat segi. Perhatikan air lautan. Aku sempat menghayati hal ini bila berpeluang menaiki bot laju ke Pulau Perhentian, tahun lepas. Air laut memang gagah dan mampu menampung apa saja berat yang menindihnya. Pun begitu, pada masa yang sama ia sangat mudah pula dicerai-beraikan dengan hanya menguisnya dengan jari.
Barangkali kerana sifatnya yang lembut dan mudah lentur itu, ia mampu memenuhi keperluan banyak makhluk. Air mampu memberi manfaat kepada apa saja. Air tidak seperti air batu. Air batu, sekali mengeras di dalam sesuatu bekas, harus dihempas pecah berkecai baru mampu dikeluarkan. Air tidak begitu, mengikut saja dengan mudah ke manapun ia dituang.
Bersikap seperti air dalam menghadapi suratan hidup pasti membuat jiwa tenteram. Skrip hidup ini silih berganti antara susah dan senang, duka dan gembira; sebagaimana hujan dan panas. Bagaimana lebat hujan, pasti akan berhenti. Begitulah halnya kesusahan dan penderitaan di dunia ini. Di belakang penderitaan dan kesusahan mengekor kesenangan dan kebahagiaan. Ini janji Allah yang tersurat di dalam al-Quran.
“Bila saja aku didatangi hal-hal yang tidak aku sukai; bila aku dihadapkan dengan kejadian dan perkara yang merugikan; bila aku dipertemukan dengan orang yang membuat hidupku sukar ….aku segera ingatkan sifat air…aku berusaha untuk bertenang dan sabar menunggu kesusahan dan penderitaan itu bertukar menjadi kesenangan dan kebahagian. Ia pasti berlaku. Ia pasti bertukar. Ia sudah berlaku berkali-kali. Tiada pilihan lain, kecuali sabar dan menunggu..dan terus menjaga amal-amal soleh. Allah lebih arif bila dan bagaimanan kesusahan itu akan bertukar menjadi kesenangan. Serahkan saja pada Allah, sambil tingkatkan amal-amal soleh”
“Bersikap seperti air batu, hanya membuat kesusahan itu bertambah parah.”
Bagaimana aku mendapat motivasi untuk bersikap seperti itu?
Lihatlah air hujan, Allah lebih maklum berapa banyak sukatan yang harus turun ke bumi.
Lihatlah pengalaman lepas, ketika mengharungi saat-saat sukar. Bagaimana ia berlaku dan baagaimana pula ia berakhir?Sering di luar rencana asal kita.
Motivasi boleh wujud dari sumber apa saja.
…dan aku asyik melihat motivasi yang wujud dari alam. Motivasi dari hidup dan kehidupan. Sama ada kehidupanku atau kehidupan orang lain.

No comments:
Post a Comment