Islam tidak pernah sama sekali melarang umatnya daripada berhibur kerana ia merupakan fitrah bagi setiap insan yang mana memerlukan hiburan untuk menghiburkan jiwa dan menenangkan fikiran. Namun begitu, Islam amat menekankan bahawa bentuk hiburan yang dibolehkan adalah selama mana ia tidak dicampuri oleh perkara-perkara yang kotor, tercela dan hiburan yang tidak membawa kepada perbuatan dosa. Islam juga tidak melarang kalau hiburan tersebut disertai dengan muzik yang tidak membangkitkan nafsu malah disunatkan pula dalam situasi gembira seperti pada hari raya, perkahwinan, menyambut kedatangan orang yang sudah lama tidak bersua, di majlis walimah, aqiqah dan di saat menyabut kelahiran seorang bayi. Perkara ini diterangkan oleh hadis Nabi SAW iaitu dengan sabda baginda:
"Daripada Aisyah r.a bahawa ketika dia menghantar pengantin perempuan ke tempat pengantin leleki Ansar, maka Nabi bertanya: Hai Aisyah, apakah mereka ini disertai dengan suatu hiburan? Sesungguhnya orang ansar gemar sekali dengan hiburan." (HR Bukhari).
Dalam riwayat yang lain: "Dan daripada Aisyah r.a sesugguhnya Abu Bakar pernah masuk kepadanya, sedang disamping beliau ada dua gadis yang sedang menyanyi dan memukul gendang pada hari Mina (aidul adha), sedang ketika itu Nabi SAW menutup wajahnya dengan pakaian, maka diusirlah kedua-dua orang gadis itu oleh Abu Bakar. Nabi SAW membuka wajahnya seraya berkata kepada Abu Bakar: biarkanlah mereka itu hai Abu Bakar, sebab hari ini adalah hari raya (yakni untuk bergembira)". (HR Bukhari dan Muslim).
Dalam menafsirkan hadis-hadis ini, al-Imam Hujjatul Islam Imam Ghazali r.h berkata bahawa hadis-hadis ini semuanya tersebut di dalam shahih Bukhari dan Muslim dan merupakan nas yang tegas bahawa nyanyian dan permainan bukanlah diharamkan dalam Islam. Adapun hadis-hadis Nabi SAW yang melarang nyanyian, semuanya ada cacat, tidak ada satu pun yang selamat daripada dipertikaikan oleh para ulama seperti yang pernah diucapkan oleh Al-Qadhi Abu Bakar bin al-Arabie: " Tidak ada satu pun hadis yang sah yang berhubungan dengan diharamkan nyanyian". Namun, apa yang dicela oleh para alim ulama berkenaan hiburan pada masa kini ialah bentuk hiburan yang banyak sekali dicemari oleh nyanyian dan muzik yang berlebih-lebihan, perbuatan yang melampaui batas syariat, meminum arak dan melakukan perbuatan yang haram dalam syariat Islam. Maka itulah yang kemudiannya dianggap oleh para ulama sebagai perbuatan yang haram atau makruh. Sebahagian ulama ada mengatakan bahawa nyanyian itu adalah termasuk dalam "lahwatul hadis" yakni perbuatan yang melalaikan seperti mana yang telah difirmankan oleh Allah SWT:
"Di antara manusia ada yang membeli perbuatan yang dapat melalaikan untuk menyesatkan (orang) dari jalan Allah tanpa disedari, dan dijadikannya sebagai permainan . Mereka itu kelak akan mendapat seksaan yang hina." (Surah Luqman:6).

Dalam kita membicarakan berkenaan hukum, perlu juga untuk kita membicarakan beberapa persoalan dan masalah yang berhubung dengan hiburan (nyanyian) ini. Antaranya ialah:
1. Nyanyian itu harus diperuntukkan bagi sesuatu yang tidak bertentangan dengan etika dan ajaran Islam. Oleh itu, seandainya nyanyian-nyanyian tersebut misalnya penuh dengan puji-pujian terhadap arak dan menggalakkan orang meminum arak maka menyanyikan lagu tersebut hukumnya haram, dan pendengarnya juga haram juga. Begitulah juga dengan nyanyian-nyanyian yang lain yang dapat disamakan dengan contoh tadi.
2. Mungkin penyanyi itu sendiri tidak menghilangkan pegangan Islamya, tetapi cara dia menyanyi itu seandainya beralih daripada halal kepada yang haram, contohnya dengan melakukan tarian dan gaya lenggang lenggok yang membangkitkan nafsu, menimbulkan fitnah serta meganjur kepada perbuatan maksiat, maka itu juga dikira haram.
3. Sebagai mana Islam melarang sikap berlebih-lebihan hatta dalam beribadah sekalipun, maka begitu juga halnya berlebih-lebihan dalam hiburan adalah dilarang sama sekali. Islam menegah umatnya daripada menghabiskan masa hanya dengan berhibur sedangkan ‘waktu’ itu sendiri bererti kehidupan. Oleh itu, tidak dapat diragukan lagi bahawa berlebih-lebihan dalam perkara-perkara Mubah itu dapat merugikan masa kita dalam melaksanakan kewajipan dan ketaatan. Tepatlah kata ahli hikmah: " Tidak pernah saya melihat suatu perbuatan yang berlebih-lebihan melainkan disebalik itu ada suatu kewajipan yang terbuang."
4. Apabila sesuatu nyanyian itu boleh menaikkan syahwat, menimbulkan fitnah dan membangkitkan nafsu kebinatangannya, maka wajib untuk seseorang itu meninggalkan nyanyian tersebut dan dia harus menutup pintu-pintu yang membolehkan bertiupnya angin fitnah. Ini bertujuan demi menjaga hatinya, agamanya dan budi luhurnya sehingga dengan demikian itu dia mendapat ketenangan dan kegembiraan.
5. Sudah disepakati bahawa nyanyian yang disertai dengan perbuatan-perbuatan haram seperti maksiat kepada Allah, pergaulan yang tiada batas antara lelaki dan wanita hingga berlakunya fitnah dan lain-lain lagi, maka di sinilah Rasulullah mengancam perlakunya dan pendengarnya dengan ancaman seksaan yang amat pedih sebagai mana sabda baginda:
" Sungguh akan ada beberapa orang daripada umatku yang minum arak, mereka namakan dengan nama lain, kepala mereka itu telah dilalaikan oleh bunyi-bunyian dan nyanyi-nyanyian, maka Allah akan menenggelamkan mereka itu ke dalam bumi dan akan menjadikan mereka seperti kera dan babi." (HR Ibnu Majah).
Kesimpulannya, Islam tidak pernah melarang umatnya daripada berhibur malah Islam amat menggalakkan umatnya supaya hidup gembira dan damai. Namun dalam berhibur, Islam amat mementingkan agar umatnya dapat memenuhi segala tuntutan syariat di mana hiburan itu sendiri dapat membantu untuk mempersiapkan diri melaksanakan ibadah dan kewajipan yang telah ditetapkan. Hiburan-hiburan yang dianjurkan oleh Islam ialah sesuatu yang lebih kepada latihan yang dapat mendidik diri umatnya ke arah menjadi manusia yang berjiwa kental, dan mampu mempersiapkan diri untuk maju ke medan perjuangan jihad fi sabilillah.
No comments:
Post a Comment